Friday 24 November 2017

Pengundi luar punca BN Kelantan kalah

Benarkah pengundi luar (rakyat Kelantan yang berada di luar Kelantan, tetapi mengundi di Kelantan) menjadi penyebab kepada kekalahan Barisan Nasional (BN) di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU-13)?  

Persoalan ini dilontarkan memandangkan sebelum pilihan raya didapati gelombang kebangkitan rakyat inginkan perubahan begitu kuat yang membayangkan BN akan menang besar di Kelantan. Bagaimanapun perkara ini tidak menjadi kenyataan yang dikaitkan dengan kepulangan pengundi luar.

Berdasarkan statistik senarai pengundi luar yang dikumpul oleh parti-parti yang bertanding, jumlahnya mencapai kira-kira 10 peratus daripada jumlah pengundi di sesuatu kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Berdasarkan jumlah keseluruhan pengundi di Kelantan kini sebanyak 918,573, boleh dianggarkan pengundi luar berjumlah kira-kira 91 ribu orang. 

Jika 91 ribu orang dibahagi secara purata dengan 14 parlimen di Kelantan, jumlahnya 6500 orang.  Dan jika dibahagi 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) jumlahnya ialah 2022 orang. Mengandaikan hanya 70 peratus yang balik mengundi, jumlah pengundi luar di setiap parlimen dan DUN masing-masing 4550 orang dan 1415 orang. 

Katakan peratusan pengundi luar yang balik mengundi memilih pakatan rakyat di Kelantan sebanyak 60 peratus, jumlah disumbangkan pengundi luar kepada pakatan pembangkang bagi setiap parlimen ialah 2730 dan DUN pula sebanyak 849 undi. 

Angka-angka ini biarpun sekadar anggaran, ia dapat membantu kita membuat keputusan tentang sama ada benar atau tidak pengundi luar menjadi penentu kepada kegagalan BN merampas Kelantan untuk penggal keenam berturut-turut. 

PRU-13 menyaksikan peningkatan penguasaan BN Kelantan apabila memenangi lima kerusi parlimen dan 12 kerusi DUN, masing-masing pertambahan tiga dan enam berbanding PRU-12 lalu.  Pertambahan itu dianggap cukup baik berbanding iaitu lebih sekali ganda untuk parlimen dan sekali ganda untuk DUN.

Namun pertambahan itu masih kurang 11 kerusi DUN untuk membolehkan BN merampas Kelantan seperti kejayaan BN merampas Kedah daripada Pas. Kelantan mempunyai 45 kerusi DUN yang mana, mana-mana parti atau gabungan parti memerlukan sekurang-kurangnya 23 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Kembali kepada isu pengundi luar penyebab BN Kelantan gagal. Untuk itu analisa hanya berdasarkan kepada keputusan peringkat DUN. Mengambil kira semua pengundi luar mengundi Pas iaitu 1415 orang bagi setiap DUN, kekalahan BN disebabkan fenomina itu ialah di mana-mana kerusi DUN yang BN kalah kurang 1415 undi.   

Terdapat sebanyak 10 kerusi DUN yang Pas menang dengan majoriti kurang 1415 undi iaitu Wakaf Baru sebanyak 978 undi, Tendong (978), Gual Periok (615), Bukit Tuku (879), Jelawat (102), Gaal (302), Pulai Chondong (919), Temangan (1085), Kemahang (1034) Mengkebang (1072) dan Guchil sebanyak 492 undi.

Di 10 DUN ini, BN boleh menang jika tidak ada satupun pengundi luar mengundi Pas. Ini tentu tidak terjadi. Pun sebagai satu andaian, ia perlu diterima. Maka, BN mampu menambah 10 kerusi DUN lagi yang menjadikan jumlahnya 22 kerusi. Jumlah itu sebenarnya masih belum cukup untuk mendapat majoriti mudah iaitu 23 kerusi untuk memerintah Kelantan.

Dengan kata lain, pengaruh pengundi luar bukan pemutus mutlak memang atau kalah BN Kelantan. Terdapat lapan kawasan DUN yang dimenangi Pas dengan majoriti melebihi 5000 undi. Tentunya di kawasan DUN berkenaan, pengaruh pengundi luar hampir tidak ada langsung. BN Kelantan kalah adalah disebabkan pengundi yang tinggal di Kelantan sendiri.

Memang tidak dapat dinafikan, gelombang merah yang melaungkan slogan tukar kerajaan Kelantan cukup hebat sehingga banyak pemerhati politik merasakan BN Kelantan mampu menang besar, bukan saja di peringkat DUN, bahkan tentu sekali kerusi parlimen juga.

Namun, pengundi telah membuat keputusan memberi kemenangan kepada Pas untuk terus kekal memerintah Kelantan bagi penggal keenam berturut-turut. 

No comments:

Post a Comment